Thursday, September 9, 2010

[26] Tempat Membeli Belah : Mesra Mall


Siapa kata Terengganu tiada tempat membeli-belah? Mesra Mall yang terletak di Kemaman adalah sebuah kompleks membeli belah yang menarik di Terengganu. Terdapat banyak kedai pakaian berjenama seperti Carlo Rino, Al-Ikhsan dan banyak lagi; kedai makanan yang terkenal seperti Starbucks, Secret Recipe, Donut Big Apple dan macam-macam lagi


Selain itu,terdapat satu medan selera atau ‘food court’ di mall ini. Ada kedai nasi kukus, kedai masakan mamak, kedai masakan barat dan pelbagai lagi.


Di sini juga terdapat pusat bowling, Sports Planet – tempat bermain futsal dan ada macam-macam permainan game yang menggunakan token


Jadi jika anda ingin meluangkan masa terluang anda dengan membeli belah atau mencuci mata sahaja, anda bolehlah datang ke Mesra Mall yang mempunyai kedai buku yang besar juga dan terdapat farmasi Guardian di sini.

Bereh boh!

[25] Tempat Makan : Mayang Village Food Court Mydin Mall Kuala Terengganu


Berada di Kuala Terengganu, anda tidak mungkin akan kelaparan kerana terdapat banyak kedai makan di sini. Jika anda berkunjung ke Mydin Mall untuk membeli-belah dan kemudian setelah penat membeli-belah dan terasa lapar, anda boleh ke medan selera atau ‘food court’ yang terdapat di kawasan luar Mydin Mall yang terkenal dengan nama Mayang Village


Di Mayang Village, terdapat pelbagai jenis makanan Terengganu sepert keropok lekor, nasi kukus, nasi air, nasi minyak dan macam-macam lagi. Jika anda ingin mencuba selera luar pula, terdapat sebuah restoran mamak iaitu restoran Nasi Kandar Padang Kota yang menyediakan makanan utamanya iaitu Nasi Kandar dan menu lain seperti roti nan, mee goreng mamak dan sebagainya.


Terdapat juga gerai-gerai kecil yang menyediakan makanan luar seperti bakso, Penang Char Kuey Teow, Nasi Lemak Kuala Lumpur, roti pratha dan banyak lagi !

Jadi jom kota makan-makan di Mayang Village sambil melayari internet kerana perkhidmatan wifi disediakan percuma di sini. Wifi dia pun laju juga. Oh di sini juga terdapat sebuah restoran KFC untuk anda yang teringin menikmati ayam goreng yang istimewa

Bereh boh !

[24] Makanan : Kuih Menganang


Kuih Menganang

Kalau anda ke Terengganu, anda mungkin sedikit keliru dengan sejenis kuih yang ada di Terengganu iaitu kuih bakar ke kuih menganang? Jika di negeri lain, anda mungkin memanggil kuih ini kuih bakar tetapi di Terengganu, kuih menganang adalah sejenis kuih yang lain


kuih Bakar

Terdapat 3 jenis kuih menganang iaitu kuih menganang beras, kuih menganang telur dan kuih menganang kacang. Rasa kuih menganang telur adalah seperti kuih akok Cuma bentuknya dalah lebih besar. Beza kuih menganang dan kuih bakar pula ialah kuih menganangrasanya lebih lemak dan manis mungkin kerana terdapat banyak telur dan santan di dalamnya berbanding kuih bakar yang rasanya kurang lemak sedikit berbanding kuih menganang

Jika anda ingin menempah kuih menganang di sekitar Kuala Terengganu, anda boleh mendapatkan maklumat lanjut di sini iaitu kedai yang menjual ketiga-tiga jenis kuih menganang :Klik Sini

Bereh boh !

Wednesday, September 8, 2010

[23] Tempat Makan : Zie's Cirner, Waterfront


Bersantai sambil makan-makan dan dihembus angin laut yang mendamaikan tentunya satu suasana yang mengasyikkan. Jika anda ingin merasakan suasana seperti ini, anda boleh berkunjung ke Zie’s Corner untuk menikmati suasana seperti ini.


Zie’s Corner terletak di Waterfront Kuala Terengganu berdekatan dengan Hotel Felda Residence, Kuala Terengganu menyediakan makanan-makanan barat yang enak sesuai ketika bersantai di waktu malam. Ia dibuka pada lewat petang sehingga tengah malam. Sangat seronok bersantai di sini kerana dapat melihat pemandangan sungai Terengganu di malam hari yang berhadapan dengan jambatan Sultan Mahmud.


chicken chop



lamb chop

Makanan yang ditawarkan di sini adalah seperti chiken chop, lamb chop sandwich, pancake ala melayu yang terdapat pelbagai perisa seperti pisang dan epal, ice blended dan juga nasi lemak. Harganya juga amat berpatutan.

Bereh boh!

[22] Tempat Menarik : Bukit Besar


Terengganu bukan sahaja mempunyai tempat-tempat menarik untuk dilawati seperti bangunan-bangunan yang cantik tapi Terengganu juga mempunyai tempak rekreasi yang unik. Pernahkah anda mendaki bukit untuk meningkatkan stamina? Tahukah anda terdapat sebuah bukit di Kuala Terengganu di mana anda boleh berekreasi sambil menikmati kecantikan alam dan meningkatkan stamina anda? Itulah Bukit Besar!


pemandangan Bukit Besar pada waktu malam

Jika anda bertanya di manakah terletaknya Bukit Besar, ia terletak berdekatan dengan Mydin Mall. Di bukit itu terdapat tulisan “Allah Peliharakanlah Terengganu” yang sangat besar. Anda dapat melihatnya dari jauh dan itulah mercu tanda Bandar Kuala Terengganu


Setiap pagi dan petang, ramai rakyat Terengganu akan bersenam di sini dengan mendaki bukit. Pendakian bukit yang agak curam di sesetengah kawasan ini sangat menyeronokkan. Walaupun penat dan terpaksa berhenti di beberapa tempat sebelum meneruskkan pendakian yang memakan masa lebih kurang 20-30 minit, kepuasan terasa bila dapat sampai ke puncaknya dan dapat menikmati pemandangan Bandar Kuala Terengganu yang cantik di pagi dan petang hari. Terdapat beberapa tempat sebelum sampai ke puncaknya yang anda boleh melihat pemandangan Bandar Kuala Terengganu.


keadaan di puncak terdapat pencawang telekom

Jadi jika anda mahu mencuba mendaki bukit yang agak mencabar ini untuk menguji stamina anda, anda boleh datang ke Bukit Besar dan mencuba sendiri keasyikan mendaki di sini


Bereh boh!

Monday, September 6, 2010

[21] Aktiviti : Makanan-makanan di Bazar Ramadhan



pelabagai juadah terjual di bazar Ramadhan Terengganu


pelbagai jenis air

kuih cara

creampuff

dadih

murtabak

air nira

onde-onde gula melaka

ketupat

popia goreng

pelbagai jenis puding

roti kurasan

kuih tokyo

[20] Makanan : Sata dan Otak-otak


Bila datang ke tempat orang, pasti pelancong ingin merasa makanan kegemaran penduduk dan pelancong yang paling terkenal dan orang ramai tidak akan melepaskan peluang mencubanya.

Sata dan otak-otak adalah makanan yang akan memberi seribu kenangan dan perasaan ketika memakannya dan tidap dapat dilupakan keenakannya apabila pelancong datang melancong ke negeri Terengganu. Ini terbukti apabaila ada rakan penulis yang pernah melancong ke Terengganu memesan kepada penulis untuk membawa pulang sata dan otak-otak ke kampung halaman.

Sata adalah ikan yang dibalut dengan daun pisang dalam bentuk bulat dan ia akan dibakar. Daun pisang memberi aroma yang menyelerakan kepada ikan yang dibakar di dalam daun pisang itu. Sata dicucuk pada satu batang dan akan dibakar secara berjemaah ataupun secara banyak atau bermaksud dalam satu batang kita boleh bakar sehingga enam satar hehe

Otak-otak pula adalah ikan yang dibelah nipis dibalut dengan daun kelapa yang diperap bersama rempah-rempah. Ia berbentuk panjang dan tirus. Rasa otak-otak sangat sedap kerana kepingan ikan yang diperap bersama rempah itu sangat manis dan terasasungguh rempah yang menyerap masuk ke dalam kepingan ikan.

Seperti makanan-makanan popular Terengganu yang lain, sata dan otak-otak ini mudah didapati di sepanjang tepi jalan di Terengganu. Ia adalah makanan yang mudah didapati seperti keropok lekor. Ia juga boleh didapati di pasar malam Terengganu

Bereh boh !

[19] Makanan : Akok


Kalau datang ke Terengganu, carilah kuih akok yang terkenal dengan rasanya yang lembut dan lemak. Jika anda terfikir bagaimanakah rasanya kuih akok ini, rasanya adalah lebih kurang kuih bingka tetapi lebih lembut dan berlemak.

Kuih akok ada beberapa jenis seperti kuih akok biasa dankuih akok telur. Kuih akok dibuat daripada telur dan santan menghasilkan sebuahkuih yang lemak dan manis. Kuih akok telur pula lebih banyak telur yang terkandung di dalam resipinya dan pastinya ia lebih berlemak.

Penulis juga sering menjadikan kuih akok sebagai pemanis mulut ketika berbuka puasa. Ia juga amat sesuai dihidangkan pada waktu minum petang. Kuih akok boleh didapati di hari-hari biasa juga kerana ia ada dijual di kedai-kedai kecil di tepi jalan-jalan Terengganu yang dijual bersama kuih bahulu

Bereh boh !

Sunday, September 5, 2010

[18] Makanan : Nekbat


Ia adalah sejenis kuih tradisional Terengganu yang amat terkenal di bulan puasa. Kuih ini mudah didapati pada bulan puasa yang dijual di bazar Ramadhan. Di bulan tak puasa? Anda boleh mencubanya di rumah

Rasa kuih nekbat ini adalah seperti kuih bahulu yg dimakan bersama air gula yang dimasak dengan daun pandan dan bunga cengkih bagi memberi bau wangi. Rasanya manis dan lembut. Penulis sukakan kuih ini yang dapat dijadikan pemanis semasa berbuka puasa.

Kuih nekbat juga ada yang dijual kering untuk sesiapa yang mahukan kurang gula dalam makanan dan tambahkan manis dalam senyuman. Nekbat kering lebih tahan lama dan boleh disimpan di dalam peti sejuk .

Bereh Boh!

Saturday, September 4, 2010

[17] Aktiviti : Bazar Ramadhan


sebuah bazar Ramadhan di Kemaman

Ramadhan sudah semakin sampai ke penghujungnya. 10 malam terakhir adalah malam-malam yang lebih bermakna dari seribu bulan. Umat Islam sepatutnya berlumba menggandakan amal kebajikan apabila memasuki penghujung Ramadhan ini.


Ramadhan di Terengganu amat istimewa. Umat Islam beramai-ramai mengimarahkan masjid di malam hari dengan mengerjakan solat sunat terawih.


Bazar Ramadhan di Terengganu juga sangat unik kerana pelbagai makanan yang hanya terdapat di bulan Ramadhan sahaja yang akan dijual di situ. Kuih-muih tradisional yang terkenal Terengganu bleh dijumpaidi bulan Ramadhan ini. Pasti rambang mata memilih makanan apabila ke bazar Ramadhan.

Pengalaman penulis ketika pertama kali melawat ke bazar Ramadhan di Terengganu ini pastinya rambang mata mahu membeli kesemua makanan yang terjual. Bagi penulis, terdapat pelbagai jenis makanan baru yang tidak pernah dijumpai seumur hidup penulis, jadi penulis sepatutnya mencuba makanan yang jarang dijumpai dan hanya boleh didapati di bulan Ramadhan. Kesemua jenis kuih tradisional Terengganu dan pantai timur seperti nekbat, lompat tikam, tahi itik, jalamas telah dicuba oleh penulis. Penulis sangat berpuas hati dapat mencuba pelbagai jenis kuih tradisional yang tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.


Tapi ketika membeli makanan itu biarlah bersederhana dan tidak membazir supaya puasa kita lebih berkat. Bersedekah dan memberi makan kepada orang yang berpuasa adalah amalan yang mulia di bulan puasa ini



Bereh boh !

Friday, September 3, 2010

[16] Hotel : Felda Residence Kuala Terengganu


Hotel Felda Residence, Kuala Terengganu adalah salah sebuah hotel yang unik di Kuala Terengganu. Bangunannya yang berbentuk seperti rebung yang tinggi menghadap Sungai Terengganu memang akan membuat pengunjung teruja menginap di sini. Di hotel ini, anda dapat menikmati pemandangan Sungai Terengganu yang cantik dan kelihatan kapal-kapal dan perahu nelayan yang menyusuri sungai Terengganu


lobi hotel

Hotel Felda Residence Kuala Terengganu terletak bersebelahan dengan Waterfront dan Kampung Cina (1km).ia terletak di tengah pusat bandar Kuala Terengganu. Jarak tempat-tempat menarik lain di sekitar Kuala Terengganu adalah seperti berikut: Pasar Payang (2km), Kampung Losong (2km)


pemandangan dari tingkat atas hotel

Hotel 19 tingkat ini mempunyai sebuah lif yang menghadap ke Sungai Terengganu. Jika anda menaiki lif sehingga ke tingkat 19 yang terletak Dewan Andaman, anda akan berasa seperti menaiki sebuah permainan yang mengujakan ke tingkat paling tinggi dan dapat melihat keseluruhan bandaraya pesisiran pantai Kuala Terengganu.


Hotel ini juga menawarkan buffet makanan seperti BBQ, steamboat secara open air dan anda juga boleh mengadakan majlis perkahwinan di muara Sungai Terengganu sambil menikmati angin bayu laut yang berhembus lembut. Selain itu, Harga bilik yang terdapat di hotel ini juga adalah amat berpatutan. Perkhidmatan wifi juga disediakan di bilik.

Maklumat lanjut tentang hotel ini, boleh layari di sini

Wednesday, September 1, 2010

[15] Tempat Makan : Pok Wan Kopitiam


Tercari-cari kedai makanan yang menawarkan makanan yang ringan dan santai di Kuala Terengganu? Anda pasti akan menyukai Pok Wan Kopitiam yang terletak di Gong Badak dan bersebelahan dengan Pasaraya Hock Kee Seng, Gong Badak.


Pok Wan Kopitiam adalah salah sebuah kopitiam yang terkenal di Kuala Terengganu. Kopitiam ini menyediakan makanan-makanan seperti roti bakar pelbagai jenis, makanan barat seperti chicken chop yang sangat besar dan lazat, spaghetti, makanan tempatan yang diubahsuai menjadi satu makanan yang menarik seperti nasi goreng chicken chop


Pancake juga adalah salah satu makanan yang kerap ditempah oleh pelanggan kerana rasanya yang unik yang boleh dimakan bersama kaya dan marjerin atau boleh dimakan dengan aiskrim juga. Selain itu, terdapat juga pelbagai jenis sandwich yang mempunyai inti yang berbeza dengan harga yang sangat berpatutan


Pok Wan Kopitiam menggantung gambar nostalgia Allahyarham P.Ramlee dalam filem-filemnya sebagai sebagai hiasan dinding. Di sini juga anda dapat melayari internet secara percuma kerana wi-fi juga disediakan selain mempunyai layar skrin besar untuk pengunjung menonton televisyen

Jadi jika anda mahu merasakan suasana santai pada setiap malam kerana ia hanya dibuka dari pukul 6 petang sehingga 12 malam, kunjungilah Pok Wan Kopitiam kerana anda pasti akan berasa seronok dan santai di sini

Bereh Boh!