Showing posts with label tempat menarik. Show all posts
Showing posts with label tempat menarik. Show all posts

Wednesday, September 8, 2010

[22] Tempat Menarik : Bukit Besar


Terengganu bukan sahaja mempunyai tempat-tempat menarik untuk dilawati seperti bangunan-bangunan yang cantik tapi Terengganu juga mempunyai tempak rekreasi yang unik. Pernahkah anda mendaki bukit untuk meningkatkan stamina? Tahukah anda terdapat sebuah bukit di Kuala Terengganu di mana anda boleh berekreasi sambil menikmati kecantikan alam dan meningkatkan stamina anda? Itulah Bukit Besar!


pemandangan Bukit Besar pada waktu malam

Jika anda bertanya di manakah terletaknya Bukit Besar, ia terletak berdekatan dengan Mydin Mall. Di bukit itu terdapat tulisan “Allah Peliharakanlah Terengganu” yang sangat besar. Anda dapat melihatnya dari jauh dan itulah mercu tanda Bandar Kuala Terengganu


Setiap pagi dan petang, ramai rakyat Terengganu akan bersenam di sini dengan mendaki bukit. Pendakian bukit yang agak curam di sesetengah kawasan ini sangat menyeronokkan. Walaupun penat dan terpaksa berhenti di beberapa tempat sebelum meneruskkan pendakian yang memakan masa lebih kurang 20-30 minit, kepuasan terasa bila dapat sampai ke puncaknya dan dapat menikmati pemandangan Bandar Kuala Terengganu yang cantik di pagi dan petang hari. Terdapat beberapa tempat sebelum sampai ke puncaknya yang anda boleh melihat pemandangan Bandar Kuala Terengganu.


keadaan di puncak terdapat pencawang telekom

Jadi jika anda mahu mencuba mendaki bukit yang agak mencabar ini untuk menguji stamina anda, anda boleh datang ke Bukit Besar dan mencuba sendiri keasyikan mendaki di sini


Bereh boh!

Saturday, July 17, 2010

[10] Taman Monumen, Taman Tamadun Islam

Tahu tak bagaimana hendak berada di 21 buah negara dalam sekelip mata? Tak percaya? Percayalah bila anda menjejaki ke Taman Monumen,Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, anda dapat melawat 21 buah monumen di seluruh dunia. Eh bukan monumen sebenar, tapi 21 buah monumen di satu kawasan yang sama.Kesemua 21 buah monumen dibina pada nisbah skala 1:8 berbanding saiz asal.

Bayaran masuk untuk ke Taman Monumen ini adalah: Dewasa, tiket berharga RM 25(tanpa MyKad) tapi yang ada MyKad , tiket adalah berharga RM15, jadi jika anda adalah rakyat Malaysia yang mempunyai myKad, pasti anda boleh masuk dengan harga yang murah. Untuk kanak-kanak berumur 7-12 tahun pula ,harga tiket adalah RM 5. Di Taman Monumen ini, anda akan diberi ‘pasport’ yang akan memberi penerangan tentang monumen-monumen yang terdapat di situ

Taman Monumen adalah berkeluasan 22.3 hektar , kawasan yang agak luas, jadi anda boleh memilih 3 jenis kenderaan untuk mengelilingi dan melawat kesemua monumen di Taman Monumen ini iaitu tram = RM 3, buggy = RM 35/sejam dan basikal = RM 3/sejam. Kalau hendak berjalan kaki pun boleh juga tapi pastikan anda membawa payung kerana cuaca yang agak panas terik dan memerlukan ketahanan fizikal yang bagus untuk berjalan kaki. Jika tidak, anda pasti keletihan mengelillingi Taman Monumen ini dengan berjalan kaki dan letih bergambar juga.

Antara momunen yang terdapat di sini adalah


Masjid suleyman, Turkey yang menempatkan infirmari,sekolah perubatan, hospital, kedai, penjara dan tempat penyimpanan senjata


Aleppo Citadel, Syria yang terletak di sebuah bukit di Syria


Masjid Kul Sharif, Russia


Kubah As-Sakhrah,Baitul Muqqaddis,Palestin


Taj Mahal,Agra,India; lambang bukti cinta dan kasih sayang Shah Jahan kepada isterinya, Mumtaz Mahal


Agadez Grand Mosque, Niger


Kalyan Minaret, Uzbekistan, menara yang diperbuat daripada batu bata yang dibakar


Masjid Xian,China yang dibina oleh Laksamana Cheng Ho. Walaupun masjid ini mengekalkan seni bina Cina dan kelihat seperti kuil Buddha tapi kedudukan masjid ini menghadap kiblat


Selain itu, terdapat 4 daripada 21 buah monumen yang mempunyai mini studio yang memaparkan dokumentari tentang monumen, galeri interaktif dan muzium yang mempamerkan kraf dan budaya tempat terletaknya monumen tersebut. Pemandu pelancong yang menjaga pusat interaktif itu juga memakai pakaian tradisional masyarakat di negara tersebut. Antara monumen yang yamempunyai mini studio adalah Masjidil Haram,Arab Saudi; Masjid Sultan Omar Syarif,Brunei; Taj Mahal,India; dan Masjid Al Hambra,Sepanyol

Jika anda ingin melihat dengan mata anda sendiri dan bergambar dengan monumen-monumen ini dengan berlatarbelakangkan langit yang membiru dan awan yang putih,marilah mengunjungi Taman Monumen di Taman Tamadun Islam ini

Yang penting sekali, jangan lupa bawa kamera Anda pasti teruja bergambar belatarbelakangkan 21 buah monumen di seluruh dunia. Dan pastikan juga bateri kamera anda penuh, jika tidak anda pasti pulang dengan hampa kerana tidak dapat bergambar dengan monumen-monumen yang cantik ini.

Maklumat lanjut , boleh klik di sini

Bereh boh !

Wednesday, July 14, 2010

[8] Tempat Menarik : TTI River Cruise

Pernahkah anda menaiki perahu tradisional menyusuri sungai di Malaysia? Jika anda ingin merasai pengalaman baru menaiki perahu tradisional menyusuri di Terengganu, anda boleh mendapatkan menaiki TTI River Cruise di Pulau Wan Man yang terletaknya juga Masjid Kristal dan Taman Monumen,Taman Tamadun Islam yang namanya makin tersohor di seantaro dunia.


TTI River Cruise menggunakan perahu payang dan kolek untuk melihat pelbagai tempat menarik dan bersejarah di sepanjang Sungai Terengganu. Perahunya yang sangat cantik diukir sendiri oleh pembuat perahu di Terengganu.



Perkhidmatan menyusuri Sungai Terengganu itu yang memakan masa sejam sehingga satu setengah jam bergantung kepada cuaca akan membawa pengunjung melihat dan menyaksikan keunikan dan keindahan Taman Tamadun Islam di samping memperoleh sedikit pengetahuan tentang cara hidup masyarakat di sekitar kampung-kampung di situ terutamanya yang berkaitan nelayan,pembuatan kapal dan pembuatan makanan popular, keropok lekor.


Perjalanan sepanjang 2.5km menyusuri Sungai Terengganu akan bermula dan berakhir di Jeti Tok Ku Paloh yang terletak di antara Masjid Kristal dan Taman Monumen akan membawa pengunjung melalui 14 buah tempat menarik di sekitar Kuala Terengganu termasuklah Muzium Terengganu, Pulau Sekati, Seberang Takir, Pulau Duyung, Bazar Warisan, Pasar Kedai Payang, Kampung Cina dan Pengkalan Keropok.


Dengan bayaran hanya RM 10 untuk dewasa dan RM 5 untuk kanak-kanak, anda akan menikmati pelayaran sungai Terengganu yang bersih dan dapat mengenali Terengganu dengan lebih dekat lagi menerusi kegiatan masyarakat di sepanjang sungai ini.


Dua orang crew akan mengiringi anda sebagai jurumudi dan pemandu pelancong dalam bot tradisional ini, jadi jika anda mempunyai apa-apa soalan yang berkaitan sepanjang menyusuri Sungai Terengganu, anda boleh bertanya kepada pemadu pelancong yang ramah ini.


Pengalaman menaiki bot tradisional ini memang menjadi pengalaman berharga untuk penulis kerana ini lah pertama kali dalam hidup penulis menaiki bot menyusuri sungai di Malaysia ini. Penulis berasa kagum kerana penduduk di sini masih mengekalkan adat dan budaya tradisional walaupun negeri Terengganu semakin memabangun.

Apa yang menarik perhatian penulis sepanjang menyusuri Sungai Terengganu sambil menikmati hembusan angin laut adalah kanak-kanak yang berenang di tepi Sungai Terengganu dan industri pembuatan kapal-kapal laut yang besar.

Maklumat lanjut tentang TTI River Cruise, boleh layari di sini

Bereh boh !