TTI River Cruise menggunakan perahu payang dan kolek untuk melihat pelbagai tempat menarik dan bersejarah di sepanjang Sungai Terengganu. Perahunya yang sangat cantik diukir sendiri oleh pembuat perahu di Terengganu.
Perkhidmatan menyusuri Sungai Terengganu itu yang memakan masa sejam sehingga satu setengah jam bergantung kepada cuaca akan membawa pengunjung melihat dan menyaksikan keunikan dan keindahan Taman Tamadun Islam di samping memperoleh sedikit pengetahuan tentang cara hidup masyarakat di sekitar kampung-kampung di situ terutamanya yang berkaitan nelayan,pembuatan kapal dan pembuatan makanan popular, keropok lekor.
Perjalanan sepanjang 2.5km menyusuri Sungai Terengganu akan bermula dan berakhir di Jeti Tok Ku Paloh yang terletak di antara Masjid Kristal dan Taman Monumen akan membawa pengunjung melalui 14 buah tempat menarik di sekitar Kuala Terengganu termasuklah Muzium Terengganu, Pulau Sekati, Seberang Takir, Pulau Duyung, Bazar Warisan, Pasar Kedai Payang, Kampung Cina dan Pengkalan Keropok.
Dengan bayaran hanya RM 10 untuk dewasa dan RM 5 untuk kanak-kanak, anda akan menikmati pelayaran sungai Terengganu yang bersih dan dapat mengenali Terengganu dengan lebih dekat lagi menerusi kegiatan masyarakat di sepanjang sungai ini.
Dua orang crew akan mengiringi anda sebagai jurumudi dan pemandu pelancong dalam bot tradisional ini, jadi jika anda mempunyai apa-apa soalan yang berkaitan sepanjang menyusuri Sungai Terengganu, anda boleh bertanya kepada pemadu pelancong yang ramah ini.
Pengalaman menaiki bot tradisional ini memang menjadi pengalaman berharga untuk penulis kerana ini lah pertama kali dalam hidup penulis menaiki bot menyusuri sungai di Malaysia ini. Penulis berasa kagum kerana penduduk di sini masih mengekalkan adat dan budaya tradisional walaupun negeri Terengganu semakin memabangun.
Apa yang menarik perhatian penulis sepanjang menyusuri Sungai Terengganu sambil menikmati hembusan angin laut adalah kanak-kanak yang berenang di tepi Sungai Terengganu dan industri pembuatan kapal-kapal laut yang besar.
Maklumat lanjut tentang TTI River Cruise, boleh layari di sini
Bereh boh !
No comments:
Post a Comment