Showing posts with label makanan. Show all posts
Showing posts with label makanan. Show all posts

Thursday, September 9, 2010

[24] Makanan : Kuih Menganang


Kuih Menganang

Kalau anda ke Terengganu, anda mungkin sedikit keliru dengan sejenis kuih yang ada di Terengganu iaitu kuih bakar ke kuih menganang? Jika di negeri lain, anda mungkin memanggil kuih ini kuih bakar tetapi di Terengganu, kuih menganang adalah sejenis kuih yang lain


kuih Bakar

Terdapat 3 jenis kuih menganang iaitu kuih menganang beras, kuih menganang telur dan kuih menganang kacang. Rasa kuih menganang telur adalah seperti kuih akok Cuma bentuknya dalah lebih besar. Beza kuih menganang dan kuih bakar pula ialah kuih menganangrasanya lebih lemak dan manis mungkin kerana terdapat banyak telur dan santan di dalamnya berbanding kuih bakar yang rasanya kurang lemak sedikit berbanding kuih menganang

Jika anda ingin menempah kuih menganang di sekitar Kuala Terengganu, anda boleh mendapatkan maklumat lanjut di sini iaitu kedai yang menjual ketiga-tiga jenis kuih menganang :Klik Sini

Bereh boh !

Monday, September 6, 2010

[20] Makanan : Sata dan Otak-otak


Bila datang ke tempat orang, pasti pelancong ingin merasa makanan kegemaran penduduk dan pelancong yang paling terkenal dan orang ramai tidak akan melepaskan peluang mencubanya.

Sata dan otak-otak adalah makanan yang akan memberi seribu kenangan dan perasaan ketika memakannya dan tidap dapat dilupakan keenakannya apabila pelancong datang melancong ke negeri Terengganu. Ini terbukti apabaila ada rakan penulis yang pernah melancong ke Terengganu memesan kepada penulis untuk membawa pulang sata dan otak-otak ke kampung halaman.

Sata adalah ikan yang dibalut dengan daun pisang dalam bentuk bulat dan ia akan dibakar. Daun pisang memberi aroma yang menyelerakan kepada ikan yang dibakar di dalam daun pisang itu. Sata dicucuk pada satu batang dan akan dibakar secara berjemaah ataupun secara banyak atau bermaksud dalam satu batang kita boleh bakar sehingga enam satar hehe

Otak-otak pula adalah ikan yang dibelah nipis dibalut dengan daun kelapa yang diperap bersama rempah-rempah. Ia berbentuk panjang dan tirus. Rasa otak-otak sangat sedap kerana kepingan ikan yang diperap bersama rempah itu sangat manis dan terasasungguh rempah yang menyerap masuk ke dalam kepingan ikan.

Seperti makanan-makanan popular Terengganu yang lain, sata dan otak-otak ini mudah didapati di sepanjang tepi jalan di Terengganu. Ia adalah makanan yang mudah didapati seperti keropok lekor. Ia juga boleh didapati di pasar malam Terengganu

Bereh boh !

[19] Makanan : Akok


Kalau datang ke Terengganu, carilah kuih akok yang terkenal dengan rasanya yang lembut dan lemak. Jika anda terfikir bagaimanakah rasanya kuih akok ini, rasanya adalah lebih kurang kuih bingka tetapi lebih lembut dan berlemak.

Kuih akok ada beberapa jenis seperti kuih akok biasa dankuih akok telur. Kuih akok dibuat daripada telur dan santan menghasilkan sebuahkuih yang lemak dan manis. Kuih akok telur pula lebih banyak telur yang terkandung di dalam resipinya dan pastinya ia lebih berlemak.

Penulis juga sering menjadikan kuih akok sebagai pemanis mulut ketika berbuka puasa. Ia juga amat sesuai dihidangkan pada waktu minum petang. Kuih akok boleh didapati di hari-hari biasa juga kerana ia ada dijual di kedai-kedai kecil di tepi jalan-jalan Terengganu yang dijual bersama kuih bahulu

Bereh boh !

Sunday, September 5, 2010

[18] Makanan : Nekbat


Ia adalah sejenis kuih tradisional Terengganu yang amat terkenal di bulan puasa. Kuih ini mudah didapati pada bulan puasa yang dijual di bazar Ramadhan. Di bulan tak puasa? Anda boleh mencubanya di rumah

Rasa kuih nekbat ini adalah seperti kuih bahulu yg dimakan bersama air gula yang dimasak dengan daun pandan dan bunga cengkih bagi memberi bau wangi. Rasanya manis dan lembut. Penulis sukakan kuih ini yang dapat dijadikan pemanis semasa berbuka puasa.

Kuih nekbat juga ada yang dijual kering untuk sesiapa yang mahukan kurang gula dalam makanan dan tambahkan manis dalam senyuman. Nekbat kering lebih tahan lama dan boleh disimpan di dalam peti sejuk .

Bereh Boh!

Tuesday, August 3, 2010

[13] Makanan : Keropok Lekor


Keropok lekor adalah makanan yang paling sinonim dengan negeri Terengganu. Pelancong yang berkunjung ke Terengganu pasti ingin merasai keropok lekor asli yang dibuat di negeri asalnya.

Keropok lekor diperbuat daripada isi ikan laut, campuran sagu dan sedikit garam. Bahan-bahan tersebut akan diuli dan digentel menjadi panjang bertali sebelum direbus dalam air panas.


Keropok lekor sedap dimakan apabila direbus kemudian digoreng rangup. Keropok lekor paling sedap dimakan ketika masih panas dan dimakan bersama sos khas untuk dimakan bersama keropok lekor

Keropok lekor yang juga dikenali sebagai ‘keropok gete’ banyak dijual di kedai-kedai tepi jalan di sepanjang jalan utama ke Terengganu. Anda dapat membeli dan merasai keropok lekor yang dibuat setiap hari dan masih segar.

Bereh boh !

Monday, July 19, 2010

[11] Makanan : Nasi Air


Bubur nasi di Terengganu unikdan berbeza dari negeri lain. Bubur nasi di Terengganu dipanggil nasi air kerana nasi bubur dimasak berasingan dengan supnya.

Nasi dimasak berasingan dan lembik seperti bubur dan kemudiannya apabila bubur nasi sudah masak, bahan-bahan lain seperti ikan bilis goreng, taugeh, daun sup,daun bawang , ayam rebus yang telah dicarik-dicarik dan sedikit telur masin akan dimasukkan bersama bubur nasi tadi dan akhir sekali sup akan dicampur ke dalam bubur nasi tadi.

Nasi air adalah satu pilihan lain untuk menggantikan nasi dan ia amat sesuai dimakan pada waktu tenghari dan malam. Nasi air pasti menjadi pilihan untuk mereka yang menggemari sup dalam hidangan. Penulis menggemari kelazatan nasi air dan pernah mencuba memasak nasi air untuk keluarga penulis dan mereka juga menyukainya.

Bereh boh !

Tuesday, July 13, 2010

[7] Makanan : Nasi kerabu

Selalunya kalau makan nasi, warna nasi adalah putih. Tapi kadang-kadang kita boleh jumpa nasi warna kuning iaitu nasi minyak di majlis perkahwinan. Bagaimana pula kalau nasi berwarna kebiruan/ungu? Tentu kita berasa pelik untuk memakannya dan berasa ragu-ragu, boleh makan ke? Sedap ke nasi berwarna ungu ini?


Nasi yang berwarna ungu ni lebih dikenali sebagai nasi kerabu dan begitulah perasaan penulis ketika pertama kali melihat nasi kerabu. Pertama kali menjamahnya adalah ketika menetap di Terengganu dan telah jatuh cinta dengan nasi kerabu yang berwarna ungu atau kebiruan ini.


Nasi kerabu yang berwarna ungu / kebiruan dimakan bersama ulam-ulaman yang rangup seperti kacang panjang, taugeh,timun, daun kesum dan kubis,ayam bakar atau ikan goreng, sambal kelapa, sambal ikan , telur masin dan juga budu sebagai pelengkap rasa. Sesetengah orang tidak menggemari budu dalam makanannya, jadi mintalah nasi kerabu tanpa budu. Selain itu, nasi kerabu juga dimakan bersama solok lada yang dibuat daripada lada hijau, kelapa dan ikan.

Kenapa penulis suka nasi kerabu? Pertama dan selamanya, tentulah kerana ia cukup mengenyangkan perut penulis yang sedang berkeroncong. Kedua adalah kerana nasi kerabu adalah makanan yang menyihatkan. Tengok sajalah ulam-ulamanya yang banyak,baik untuk menjadi pelawas. Ketiga kerana penulis dapat memakannya bersama budu. Penulis sangat suka menjadikan budu sebagai pelengkap rasa dalam makanan. Harganya pun murah di sekitar lingkingan RM 2- RM 4 mengikut lauk yang dikehendaki.

Di mana anda boleh dapatkan nasi kerabu ini? Kebiasaannya, nasi kerabu dijualpada waktu pagi sebagai sarapan di gerai-gerai dan juga dijual di pasar malam. Penulis selalu membelinya di pasar malam di Gong Badak setiap hari selasa dan pasar malam di Pak Tuyu setiap hari Khamis.

Bereh boh !

Sunday, July 4, 2010

[3] Makanan : Nasi Minyak Terengganu


nasi minyak yang dijual di Warung Norazila, Kuala Ibai

Adakah anda anda rasa nasi minyak Terengganu sama dengan nasi minyak di negeri lain di Malaysia? Ternyata anda salah.Nasi minyak Terengganu berbeza dengan nasi minyak negeri-negeri lain. Nasi minyak Terengganu tidak seberat dan selemak negeri-negeri lain jadi ia sesuai dimakan tiap-tiap hari dan rasanya juga tidak muak.

Nasi minyak boleh dimakan pada waktu pagi, tengahari dan juga untuk makan malam kerana rasanya sangat enak dan mengenyangkan. Ia juga dihidang ketika majlis-majlis perkahwinan dan keraian.

Kelainan nasi minyak Terengganu dari nasi minyak di negeri yang lain terletak pada gulainya yang istimewa. Gulai ayam atau daging yang dibuat menggunakan rempah istimewa dimakan bersama sambal belacan Terengganu dan acar melengkapi rasa nasi minyak Terengganu. Nasi minyak Terengganu juga berwarna-warni dan ini menyebabkan ia menarik untuk dimakan.

Anda boleh mendapatkan nasi minyak dengan mudah di mana-mana di Terengganu terutamanya pada waktu pagi kerana ia sudah seperti makanan sarapan yang wajib untuk rakyat Terengganu. Nasi minyak juga mudah didapati di pasar malam dan selalunya gerai nasi minyak akan mendapat tumpuan pengunjung pasar malam terutamanya di kalangan pelajar.

Nasi minyak Terengganu merupakan makanan yang seimbang yang mengenyangkan kerana mempunyai kesemua kelas makanan yang diperlukan seperti karbohidrat (nasi), pelawas dan vitamin (acar sayur-sayuran) dan protein ( gulai ayam atau daging).

Jadi nasi minyak adalah sejenis makanan yang anda patut cuba bila datang ke Terengganu. Pesan saje “nasi minyok se ! “ dan anda tidak akan lupa kelazatan nasi minyak Terengganu sampai menjilat jari.

Bereh boh !