Thursday, July 8, 2010

[6] Acara : Piala Monsun @ Monsoon Cup


Musim tengkujuh yang biasanya berlaku pada hujung tahun akan menyebabkan banyak aktiviti terbantut terutamanya di kalangan nelayan. Nelayan tidak dapat turun ke laut dan kebanyakan aktiviti ekonomi lain juga tidak dapat dijalankan. Memikirkan kelebihan yang ada dalam musim tengkujuh,bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Badawi melahirkan idea untuk mengadakan Piala Monsun (Monsoon Cup) yang dapat memberi keuntungan kepada rakyat Terengganu. Dengan adanya acara seperti Piala Monsun akan mencipta peluang ekonomi dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan yang berkaitan dengan acara tersebut seperti perhotelan, perlancongan, restoran, membuat perahu, persediaan makanan,tekstil dan cenderamata.


Piala Monsun adalah kejohanan kapal layar yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu diadakan di Pulau Duyong, Terengganu. Piala Monsun telah diadakan sejak 2005 lagi. Ia merupakan siri terakhir Jelajah "World Match Racing". Datuk Peter Gilmour dari Team PST, Australia merupakan penasihat kejohanan itu dan juga orang yang bertanggungjawab membawa Jelajah "World Match Racing" ke Malaysia.


Piala Monsun ini akan diadakan sehingga 2012 kerana adanya perjanjian dengan penganjur iaitu World Match Racing Tour. Sumber : Wikipedia

Piala monsun juga menjadikan Pulau Duyong menjadi sebuah tempat perlancongan yang bertaraf antarabangsa dengan adanya resort moden seperti Riyaz Heritage, Resort and Spa dan meningkatkan taraf aktiviti tradisional seperti membuat bot dan perahu kepada perkhidmatan membaiki kapal.

Penulis tidak melepaskan peluang mengunjungi Karnival Piala Monsun yang diadakan dari 1 Disember 2009 sehingga 6 Disember 2009. Pelbagai aktiviti diadakan sempena Karnival tersebut selain dapat melihat sendiri pertandingan kapal layar yang disertai pelayar-pelayar antarabangsa seperti Adam Minorpio dan Peter Gilmour.

Piala Monsun kali ke-5 itu telah memperkenalkan Terengganu di mata dunia dengan kedatangan pelancong-pelancong dari dalam dan luar Negara. Karnival yang diadakan juga telah menggalakkan pengenalan terhadap budaya Terengganu dan masyarakat Malaysia dengan adanya pertandingan menari 1 Malaysia 1 Budaya. Selain itu, Sukan Rakyat, demonstrasi dan pertandingan wau juga telah diadakan.



Sebuah mini zoo yang menempatkan pelbagai binatang yang agak pelik juga terdapat di sini. Ia sesuatu yang unik dan telah memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat dengan mata mereka sendiri pelbagai binatang yang sukar dijumpai seperti kura-kura berleher panjang, burung gagak albino dan tarantula.


Penulis sangat teruja bila dapat melihat pertandingan kapal layar sambil ditiup angin monsun yang juga menggerakkan kapal-kapal layar. Seperti tagline pertandingan ini "You wouldn't want to miss it",ia benar-benar sesuatu acara yang patut tidak dilepaskan peluang untuk menontonnya.

Maklumat lanjut tentang Piala Monsun di sini

Bereh boh !

No comments:

Post a Comment